Saturday, September 28, 2013

Kelahiran Adik Kakak - Anugerah Terindah Kedua Buat Umi dan Daddy


ketika masih di Labor Room...kenyang selepas mendapat susu pertamanya

Bismillah dan salam buat semua.....

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Taala arini dah masuk ari ke-20 kehidupan kami sekeluarga diserikan lagi dengan cahaya mata kedua kami. Agak lama tidak ada post baru disebabkan di hujung kehamilan saya dah xde mood dek menunggu hari, hehehe....

Oklah, x nak bermukadimah panjang....sementara adik Ahmad tengah nyenyak tidur baik saya amik kesempatan mencatatkan perjalanan kelahiran adik kakak ini. Tanggal 9 September 2013 (Isnin) merupakan due date saya. Sehari sebelum due, saya agak busy sebenarnya. Kedatangan mertua ke rumah pada hari Sabtunya, manakala hari Ahad itu saya turut mengikuti menghantar adik ipar ke KLIA dengan menaiki ERL. Sememangnya pada hari Ahad tersebut memang saya masih seperti biasa tiada tanda2 sakit atau apapun. Sebelah malamnya kami ke Tesco Shah Alam (yeke?saya pun lupa shopping complex mana yg saya kunjungi pada malam itu). Kami hanya membeli pampers Safiyya dan sedikit roti buat bekalan dalam perjalanan sebelum makan mlm kerana mertua sudah menyediakan rendang ayam di rumah. Sampai di rumah saya mengemas rumah dan menyapu ruang tamu seperti biasa. Selesai makan, masanya sudah sampai untuk saya tidurkan Safiyya dan saya turut lena sekali.

Tepat jam 2.30 pagi saya terjaga disebabkan saya terasa sakit perut. Saya ke tandas seperti biasa namun tiada sebarang tanda yang keluar, sedikit hampa sebenarnya kerana saya risau saya dipaksa bersalin sekiranya terlebih dari due. Saya solat Isyak dan solat sunat memohon dipermudakan segala urusan dan kemudian saya gerak suami yang terlena di ruang tamu. Sementara menunggu suami solat, saya mengemas baju dan beg Safiyya untuk ke taska pada siang harinya. Sementara mengemas dan mencuci botolnya, rasa sakit perut semakin ketara namun sakit tersebut tidaklah terlalu kuat dan saya mampu menahannya lagi. Selesai suami solat, saya khabarkan kepadanya yg saya dah mula rasa contraction dan suami segera mengajak ke hospital. Saya menolak dan mengatakan kepadanya saya masih mampu menahan rasa sakit tersebut kerana tidak terlalu kuat dan biarlah sehingga Subuh sekiranya hendak ke hospital sekalipun. Bukan apa, saya bingung memikirkan siapa yang hendak menjaga Safiyya kerana di rumah hanya ada kami bertiga sahaja. Dalam masa yang sama saya memang inginkan suami berada di sisi ketika saya menahan sakit contraction dan ketika sedang melahirkan anak kami. TETAPI mana mungkin segala keinginan saya dipenuhi sedangkan tiada sesiapa di rumah yang boleh untuk tolong tengokkan Safiyya. Sungguh saya terlalu banyak memikirkan Safiyya sahaja ketika saya mula sakit. Dahulu semasa menanti hari kelahiran Safiyya, kedua ibu bapa saya dah datang ke Putrajaya lebih awal kerana ketika itu cuti sekolah. Mak dan bapak mengasuh tiga orang cucu di rumah. Tapi kelahiran adik Safiyya bukan pada cuti sekolah dan menyebabkan mak dan bapak saya tidak dapat datang lebih awal. Namun, bapak sudah berpesan sekiranya saya mulai sakit, bapak suruh inform dan bapak akan segera datang. Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan segalanya. Apabila mula sakit, nak pegang hp pun dah x ingat......

Menjelang jam 3 lebih pagi, rasa contraction semakin kuat dan kerap. Suami setia di sisi saya ketika ini. Setiap kali datang contraction, suami segera menghulurkan tangannya untuk saya genggam menahan rasa sakit. Setiap kali rasa sakit itu datang, suami setia mengurut belakang saya sambil mengingatkan saya untuk sentiasa berselawat. Berbagai posisi saya buat untuk menahan rasa sakit contraction, namun posisi merangkak yg saya paling gemari dan paling selesa. Kasih saya pada suami semakin bertambah erat dek keprihatinannya menenang dan mengurut saya tatkala rasa sakit itu datang. Saya masih ingat detik ketika sebelum saya bersetuju untuk ke hospital, saya mohon maaf kepada suami sambil mencium dia dan ketika suami mengatakan dia sentiasa memaafkan saya malah saya tidak pernah membuat salah kepadanya, terus rasa sebak dan terharu datang menyelubungi diri saya. Disebabkan suami melihat saya sakit contraction yg kuat, dipaksanya saya ke hospital juga. Sementara suami menyiapkan barang untuk ke hospital, saya mandi dan bersiap. Ketika sedang pakai tudung, tiba2 saya dah mula rasa hendak meneran....aduhai.....

Jam 4.30 pagi kami gerak ke hospital. Kesian Safiyya terpinga2 bila suami dukung dia ke kereta tiba2 dan Safiyya sangat behave duduk kt depan sendirian tanpa saya. Ketika menaiki lif, sekali lg rasa untuk meneran dtg namun saya tahankan lg kerana hendak smpi ke hospital terlebih dahulu. Dalam kereta saya berbaring mengiring sambil merapatkan kedua kaki....apabila dtg rasa hendak meneran saya cuba bertahan....NAMUN smpi ke satu tahap saya dah tidak dpt menahan lg, saya cuba meneran apabila dtg rasa tersebut dan ketika itu kepala baby sudah saya rasakan. Lantas saya baring terlentang sambil tinggikan belakang dan bersandar di pintu kereta (posisi yg terbaik untuk saya meneran). Datang gesaan kali ini, saya memang tidak dapat menahan dan terus meneran. Teknik pernafasan yg saya pelajari, masih saya ingati dan mengamalkannya apabila meneran. Tanpa diduga air kutuban pecah dan baby keluar sekali. Saya khabarkan kepada suami baby sudah keluar, suami dalam keadaan panik terus minta saya sambut baby kerana risau baby jatuh ke bawah. Sedangkan sebaik sahaja baby keluar, saya sudah sedia menyambutnya dengan tali pusat merentasi seluar saya dan terus meletakkannya di atas dada saya. Tanpa menghiraukan bau hanyir darah saya terus mencium dahinya berkali2 sambil melafazkan kesyukuran kepada Allah Taala kerana memudahkan proses bersalin saya kali ini. Tanpa sedar airmata turut mengalir sama, suami juga turut mengalirkan airmata kerana tidak menyangka saya telah melahirkan anaknya di dalam kereta. Kakak Safiyya pula tergamam dan menjenguk ke belakang apabila mendengar tangisan adiknya.

Selang 5 minit, kami sampai Hospital Putrajaya dan ketika masih di dalam kereta, Dr memotong tali pusat bayi kami dan kami di bawa ke Labor Room untuk proses mengeluarkan uri. Syukur segalanya dipermudahkan buat kami tatkala hati saya gundah gulana mengenangkan ketiadaan penjaga untuk Safiyya dan dalam masa yg sama inginkan suami menemani saya, Allah Taala permudahkan kelahiran ini dengan saya melahirkan bayi kedua kami dengan ditemani suami malah Safiyya juga turut ada. Jam 9.00 pagi saya ditolak masuk ke wad setelah berehat di Labor Room dengan ditemani bayi dan ketika itu jugalah saya diberi peluang menyusukan bayi buat pertama kalinya.....perasaan yg terlalu indah yg tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Alhamdulillah tengahari esoknya saya sudah boleh keluar wad. Ketika dalam perjalanan pulang, suami melafazkan ucapan terima kasihnya kepada saya kerana melahirkan zuriatnya....sob sob, sebak sangat bila suami mengatakannya kepada saya ketika ini.....

Bayi kedua seberat 3.23 kg, dengan panjang 52 cm dan lilitan kepala 32 cm yang selamat dilahirkan pada jam 4.20 pagi ini, suami memilih untuk menamakannya Ahmad Yassin....nama yg menjadi pilihan suami sejak saya hamil anak pertama lagi. Suami memilih nama tersebut dengan harapan anaknya menjadi pejuang agama Islam sebagaimana perjuangan Almarhum Sheikh Ahmad Yassin, pejuang Hamas yang mashyur. Semoga Ahmad menjadi anak yg soleh, berbakti untuk agama dan menjaga keluarga kita sebaiknya....Amin.....


Day 7- Ahmad Yassin