Friday, December 28, 2012

Cuti-Cuti Cameron

Bismillah dan salam buat semua....

Seperti dijanjikan saya akan mencoretkan kisah percutian keluarga besar kami ke Cameron Highlands pada 10 - 11 Disember 2012. Percutian bersama keluarga amatlah menyeronokkan dan memang dinantikan oleh saya kerana pada masa itulah masa yg saya ada untuk luangkan masa bersama insan-insan tersayang. Kini, saya menantikan peluang untuk bercuti bersama keluarga mertua pula. Pada awal tahun saya tidak dapat turut serta bercuti bersama keluarga mertua disebabkan badan saya yg masih lemah selepas bersalin (walaupun dari luaran memang takde apa-apa, namun atas nasihat kakak ipar saya dan mak saya adalah lebih elok menjaga dari mendatangkan kemudaratan di kemudian hari....yesss, its true) dan atas faktor anak saya yang masih kecil ketika itu (baru berusia sebulan lebih) adalah tidak sesuai membawa anak kecil ke kawasan orang ramai kerana ia akan membahayakan kesihatannya....as usual, kat luar kan pelbagai pencemaran. Sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup untuk melihat anak saya sakit dan itulah kelemahan saya dan saya akan melindungi anak saya sebaiknya. So saya kira inilah ruang terbaik bagi saya menjelaskan duduk pangkal perkara sebenar walaupun ketika itu hati saya disiat siat hingga menitis airmata mengenangkan kata-kata yang dilemparkan kepada saya dan saya akui masih menyimpan kiriman sms yg dilayangkan kpd saya. Bukan untuk berdendam tapi sebagai ingatan buat diri saya agar tidak lupa....it was easy to forgive but it is difficult to forget!!.

Ok, back to the topic.....actually percutian ini saya kira amat tepat sempena dengan ulangtahun kelahiran anak saya yg pertama dan sekaligus menyambut ulangtahun perkahwinan kami yg kedua. Tahun lepas x sambut apa2 sebab lebih xcited menyambut ahli baru sampai x perasan dah anniversary kamipun, hehehe...Sehari selepas buat doa selamat sempena ulangtahun pertama Safiyya di rumah mertua, esoknya (10 Disember 2012) saya balik ke rumah mak saya dan membuat persiapan sewajarnya. Tugasan saya adalah menyediakan ayam goreng berempah..mood xcited punya pasal smpikan saya berani mengambil cabaran menyediakan masakan smpi 4 ekor ayam...sedangkan sebelum ni saya hanya memasak dlm kuantiti yg sedikit sahaja. Tolong mak mengemas brg2 yg patut maka dalam jam 12 tengah hari kami bertolak ke Cameron Highlands. Cuaca agak baik menyambut kedatangan kami sekeluarga dan Safiyya pula sepanjang perjalanan lena sahaja sehingga dah sampai di Tanah Rata barulah dia bangun dari tidur dan aktif bergerak dalam kereta. Destinasi pertama kami adalah untuk check-in di apartment yg disewa di Tanah Rata untuk makan tengah hari dan solat sebelum meneruskan misi seterusnya.

Kami bercadang untuk ke Pasar Malam di Tanah Rata, setibanya kami di sana hujan turun mencurah-curah lebatnya maka perancangan kami tergendala dan kami meneruskan misi ke ladang strawberry. Suami meminta saya mencuba aiskrim strawberry, walaupun cuaca sejuk kami nekad membeli aiskrim tersebut. Semuapun terkejut melihat kami yg selamba makan aiskrim time hujan mcm tu, x lama lepas tu kakak kakak ipar saya yg mengandungpun mencuba juga...hehehe, semua x nak lepaskan peluang menikmati keenakan aiskrim tersebut. Sempat membeli strawberry di situ, ingat nak makan kat rumah tapi rupanya suami saya ni penggemar tegar buah strawberry rupanya....habis sebekas dia makan tanpa henti. Disebabkan hari semakin malam, kami memutuskan untuk pulang ke apartment untuk berehat. Namun saya dan suami punya agenda tersendiri. Selesai makan malam bersama, saya dan suami ke luar semula dan ke pekan Tanah Rata untuk menikmati minuman panas bersama. Momen indah yg saya rasakan kerana sempena Anniversary kami, di kala bumi sejuk dek hujan yg turun petang tersebut kami menikmati air coklat panas sambil berbual tentang banyak perkara. Pulang ke rumah agak lewat dan anak-anak sedara yg lain semuapun dah lena. Safiyya juga dah lena time dalam kereta lagi.

Esoknya, agenda kami diteruskan selepas sarapan pagi. Kami ke Ladang Teh, Kebun Strawberry, Kebun Kaktus dan beberapa tempat menarik lagi. Alang-alang dah ke sini, saya tidak melepaskan peluang menikmati jus strawberry dan strawberry coklat atas permintaan suami. Bagi saya, aiskrim dah jus strawberry yg saya nikmati memang lazat, namun strawberry coklat bukanlah feveret saya kerana saya sendiri tidak berapa menggemarinya tidak seperti suami.

Menjelang petang, kami bergerak pulang memandangkan masing-masing akan pulang ke ibu kota untuk kembali bekerja keesokan harinya. Perjalanan pulang sungguh mendebarkan kerana hujan yang turun membasahi bumi menampakkan tanah-tanah di bukit semakin polos dan sesekali saya terlihat tanah dah mula menggelongsor ke bawah....dalam hati Tuhan jer yang tahu dan terus saya memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Alhamdulillah kami selamt sampai di Sungai Rokam jam 6.00 petang dan bergerak pulang ke Putrajaya jam 9.00 malam...enjoy some pics...

Safiyya n daddy....alahai, cairnya hati umi nengok cik abg senyum cenggitu...auwww

Safiyya n umi plak.....masam je muka Safiyya pas bangun tido

Anak-anak sedaraku kecuali yang bertudung purple iaitu bondaku di sebelah kanan sekali dan yang bertudung purple dukung Safiyya dan yang berbaju belang

Safiyya dan umi sekali lagi....Subhanallah, indahnya alam ciptaan-Mu

us-love u till death (insya-Allah)

cinta hati umi dan daddy

Thursday, December 27, 2012

25 Perkara Yang Berubah Setelah Mempunyai Anak

Sering kali rakan-rakan kita memberi peringatan kepada kita ketika kita sedang mengandungkan anak pertama. “Kau tidurlah puas-puas, nanti dah ada anak mesti tak cukup tidur”…Betul kan?
Dan yang pasti, selepas mempunyai anak, banyak yang akan berubah dalam hidup kita. Kita akan mempunyai kekangan wang, tidak cukup tidur dan tanggungjawab yang lebih besar perlu digalas. Tetapi apabila seluruh kehidupan kita bertumpu kepada anak kesayangan kita, sebenarnya, banyak perkara yang menarik akan berlaku.

my heart & soul

1- Kita menemui kekuatan dalaman tanpa kita sedar-tak sangka berjaya mengharungi detik melahirkannya dan tabah apabila anak sakit dan buat perangai.
2- Kita akan merindui saat 9 bulan kehamilan kita walaupun terpaksa mengendong perut yang boyot-dah bersalin memang super duper rindu momen tersebut wpun time nak bersalin rasa serik!!
3- Kita tidak lagi memerlukan jam. Sebaliknya, bayi kita yang menetapkan jadual harian kita. Adakalanya bayi kita bangun seawal jam 4 pagi-betul tu tepat jam 5.00 pagi atau 5.30 pagi mesti automatik anak merengek nak susu!!
4- Kita akan menghormati dan mengasihi ibu bapa kita sendiri dengan cara yang baru-lepas ada anak terasa sangat sensitif bila dengar berita anak derhaka, tinggalkan ibu bapa ataupun pasal buang bayi, mau menitik airmata dibuatnya.
5- Jika anak kita sakit, kita yang akan mengalami rasa lebih teruk berbanding anak yang sakit-kelemahan paling ketara, bila anak sakit rasa macam kita nak ganti tempat dia...tak sanggup tengok dia merengek dan menangis kesakitan...anak menangis, mak pun menangis sama ..
6- Kita tidak keberatan tidur pada pukul 9 malam pada malam Jumaat…;-) -anak tidur, maknya pun terlena sekali tanpa sengaja.
7- Perasaan kita akan lebih mudah tersentuh atau berkecil hati apabila berlaku hal-hal berkaitan dengan anak-sangat sokong especially kalo orang berkata -kata tak elok tentang anak kita ataupun membandingkan anak kita dengan anak dia...derrr
8- Kita akan lebih kerap melihat anak kita di dalam cermin berbanding melihat diri kita sendiri -setuju, especially tengah bersiap.Risau anak jatuh atau terlepas aksi menarik dari dia.
9- Kita tidak lagi jijik dengan najis bayi, sebaliknya kita akan Happy bila anak kita poo-poo - especially bila anak dah mula makan, risau sembelit.
10- Kita akan lebih menghargai diri kita - absolutely true, makan minum kena jaga sebab air susu terhasil dari apa yg kita makan....x leh main balun semua jer, especially yang sejuk dan berangin.
11- Kita lebih rela meluangkan masa untuk peluk dan cium anak kita, walaupun kita tahu kita akan sampai lewat ke tempat kerja -kan best kalo boleh buat kerja kat nursery anak jer...hehehe
12- Kita mula menyedari, yang kita punyai kuasa yang hebat bila dapat menenangkan anak kita yang sedang menangis.
13- Kita akan sentiasa mengira gigi anak yang baru tumbuh -tapi Safiyya belum tumbuh gigi lagi sehingga kini...takpe sayang, lambat tumbuh lambat sikit gigi awak rosak kan...
14- Kita akan rasakan yang mempunyai anak lagi bukanlah satu masalah yang besar, malah kita amat sukakannya. - dah mula berangan nak tambah anak lagi, yeyyyy!
15- Apabila kita melihat ada ibu bapa lain yang sedang memegang anak mereka yang sedang menangis, kita akan faham situasi mereka.
16- Kita akan menghargai masa mandi kita walaupun ianya dalam masa yang singkat!
17- Akhirnya, kita akan mula bertegur sapa dengan jiran sebelah selepas mempunyai anak!
18- Kita akan dapati, perkara-perkara yang dulunya kita anggap penting kini tidak lagi selepas adanya anak - dulu suka beli handbag dan kasut, sekarang tidak lagi....
19- Kita sedar yang sebenarnya tidak sukar untuk menyayangi anak kita yang pada mulanya kita anggap dia adalah orang asing. - bila tidur malam dan bangun pagi dapat cium bau anak yang utama ^_^
20. Kita akan mula mencari resepi baru untuk dijadikan menu harian anak menjelang usianya 6 bulan - tak jemu bangun awal pagi menyediakan makanan untuk anak hasil dari air tangan sendiri....
21. Kita mula mencatat setiap perkembangan mengenai anak - setuju sangat, siap tulis nota dalam hp untuk diajdikan kenangan di masa depan time dia mula meniarap, merangkak, duduk, berdiri, bertatih dan sebagainya.
22. Buat yang rajin surt internet, mereka akan mencari online store yang menjual barang-barang bayi dan di mana ada warehouse sales untuk dituju.
23.Kita akan merasa nikmatnya dapat menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak di hari minggu atau cuti umum - memang ditunggu-tunggu setiap minggu.
24.Kamera - Jika dulu lebih gemar menangkap gambar sendiri dan suami namun kini baik kamera hp mahupun kamera biasa banyak gambar anak jer...siap capture first milestone dia seperti meniarap, merangkak dan sebagainya.
25- Setiap hari kita adalah sesuatu yang penuh dengan kejutan!


Wednesday, December 19, 2012

WW-Safiyya Dengan.....

Ayah mok dia....

Auntie Ela dia....

 Mak Ateh dia....

Mak Uda dia...

Chik As dia....

Tuesday, December 18, 2012

Review Untuk Tahun 2012

Umi, Safiyya n daddy.... ^_^
Bismillah dan salam buat semua....

Rasanya dah berkurun blog ni berhabuk, bukan sengaja dibiarkan tapi disebabkan ketiadaan mood yg menebal plus ada serba sedikit perkara yg meruntun jiwa yg menyebabkan saya hanya termampu untuk blogwalking sahaja, huhuhuhu...

Ok, ketepikan semua tu dan sekarang saya cuba kembali dengan mood baru.....apa-apa pun, memandangkan sekarang dah masuk pertengahan bulan Disember, kita review semula apa yg berlaku sepanjang tahun 2012....tahun yg bermakna buat kami suami isteri dengan kehadiran cahaya mata yg pertama-Nusaibah Safiyya.

Januari - masih dalam tempoh berpantang, selesai habis berpantang 44 hari saya pulang semula ke Putrajaya pada 24 Januari 2012 (fasa menyesuaikan diri menguruskan rumah tangga dengan kehadiran anakanda).

Februari - masih belum bekerja (fasa meluangkan masa dengan anakanda tersayang 24/7).

Mac - mula masuk keje pada 9 Mac 2012.
        - hari lahir suami tersayang

April - hari lahirku yang ke-29
        - Percubaan pertama Safiyya untuk meniarap

Mei - Safiyya kuat meniarap dan mula mengangkat punggung
       - Kali pertama Safiyya demam sejak dilahirkan (demam plus naik bintik-bintik
        merah  kt muka n badan)

Jun - Percutian pertama Safiyya dengan seluruh keluarga saya ke Singapura (insya-Allah
        saya akan story nanti)
      - Safiyya genap 6 bulan BF, Alhamdulillah syukur Ya Allah....
      - Safiyya mula makan solid food, genap 6 bulan
      - Kali pertama Safiyya merangkak (tapi reverse) dan duduk sendiri (dengan
        sokongan tangannya)

Julai - Saya demam panas + tekak berdarah
        - Safiyya mula merangkak ke depan dan mula memberanikan diri untuk berdiri (^_^)
        - Safiyya berjaya duduk sendiri tanpa sokongan tangannya

Ogos - Puasa pertama menyusukan bayi, hari pertama teramatlah lesu dan
          production merudum tapi Alhamdulillah berkat bulan Ramadhan dan buah kurma
          semuanya kembali normal.
        - Raya pertama bagi Safiyya
       
September - Kali pertama Safiyya menaiki kapal terbang, ikut daddy outstation
                   ke Sarawak. Syukur semuanya berjalan lancar (akan stori mori later).
                 - Hujung bulan ni, saya sekali lagi demam panas n tekak luka
                 - Safiyya dah mula berjalan sambil memegang perabot

Oktober - Safiyya dah mula berdiri sendiri tanpa memegang perabot dan mula melangkah
               sesekali
            - Raya Haji pertama Safiyya dan tahun ni Safiyya masuk korban. Terima kasih
              atok Seri Raia...
            - Penghujung bulan Oktober, Alhamdulillah Safiyya dah mula berjalan
            - Bermulala misi umi dan daddy mencarik tempat untuk bersantai di hujung
              minggu bagi membiasakan Safiyya berjalan sendiri ^_^

November - Kali pertama saya outstation sejak kehadiran Safiyya.
                - Kali pertama tok n opah Sg.Rokam jaga Safiyya sebab saya bekerja dan
                  suami tidak dapat turut serta.
                - Saya dan Safiyya cuti rehat untuk hadir ke majlis yg dianjurkan suami
                  sebagai tanda sokongan ^_^
                - Ke Melaka menghadiri majlis perkahwinan sahabat suami dan cuti-cuti
                 Melaka (akan stori-mori nanti)

Disember - Safiyya genap umur setahun dan majlis doa selamat diadakan di umah tok
                 n opah Seri Raia (akan story nanti)
              - Anniversary kami yg kedua, syukur Alhamdulillah
              - Percutian bersama keluarga di Cameron Highlands (akan story nanti)
             - Genap setahun menyusukan Safiyya secara eksklusif, semoga berterusan
               sehingga umurnya 2 tahun...Amin...
              - Percutian terkahir untuk tahun 2012, (insya-Allah) sempena Family Day ofis
                suami di Bukit Tinggi (akan update nanti)


Monday, December 17, 2012

Jeng Jeng Jeng

Bismillah dan salam buat semua......

Sebagai intro untuk mood yang baru di penghujung bulan bagi tahun 2012.....


tanggal 101211-sah menjadi isteri kepada Muhammad Saiful bin Abdul Mutalib


malu malu didera photographer

tanggal 101212-bertiga dengan anakanda tersayang

P/S:
Kami akan mengabadikan gambar sebegini setiap tahun sebagai kenang kenangan, insya-Allah ^_^

Friday, October 5, 2012

Bila Nak Bagi Safiyya Adik??

Bismillah dan salam buat semua.....


Jeng jeng jeng, pagi Jumaat yg penuh suspen...hehehe, sebenarnya saya belum pregnant lagi. Actually saya rasa rindu sesangat momen2 mengandung dahulu, rindu pegang dan usap2 perut, rindu perut bergerak2, rindu tendangan dan sikuan manja dari anak di dalam rahim, rindu akan segala-galanya. Tapi sebelum nak menempuh alam yg indah itu, terlebih dahulu saya mengalami fasa yg penuh ujian (kandungan dahulu la)...fasa yg serba x lalu nak makan, masak dan segalanya...Semoga yg akan datang saya x mengalami lagi insiden keluar coklat2 di awal kehamilan, huhuhu....penuh suspen, mendebarkan dan penuh dengan airmata...Lebih menakutkan time nak bersalin...saya masih ingat lagi betapa saya x bersedia lagi nak ditolak masuk ke labour room sampaikan berkali2 saya minta nurse tangguhkan dahulu sebab saya nak tidur (ada hati nak tidur, padahal dah x keruan menahan sakit n jalan dah bukak 6 cm)

Bila dengar kawan2 dan kakak ipar dah mengandung semula, rasa best plak mendengarnya. Adik ipar pun dah mula bertanya bila nak bagi Safiyya adik? daddy Safiyya apatah lagi kan, pantang Safiyya manja sikit mesti dikatanya kena cepat2 bagi adik supaya x manja terlebih. Dahulu ketika Safiyya di usia sebelum 6 bulan bukan kemain dia menghisap jari kakinya sampaikan mak saya dah suspen melihatnya....hehehe, ternyata orang lain yg hisap kaki orang lain yg dapat adik dulu. Kuasa Allah mengatasi segalanya.

Bagi saya pula, kami tidak merancang dan bersedia menerima ahli baru bila2 masa. Namun saya sedar di sebalik kesediaan saya untuk ke arah itu, saya yakin Allah Taala punya perancangan yg terbaik buat kami sekeluarga. Insya-Allah ada rezeki adalah adik Safiyya nanti....Amin.... (^_^)



Safiyya dalam perut umi time nih, rindunya....


p/s:
berangan nak mengandung, tapi cik P x kunjung2 tiba lagi ate cemana tuh??.....hehehehe


Thursday, October 4, 2012

Kembali Bekerja

Bismillah dan salam buat semua....

Sebenarnya semalam saya baru kembali bekerja setelah 6 hari MC dan 2 hari amik cuti rehat. So total 12 hari saya berkepit dengan anakanda tersayang....saya suka sebenarnya dapat luang masa dengan Safiyya namun saya terpaksa juga kembali bekerja dan mencari rezeki seperti biasa. Kalaulah suatu hari nanti suami minta saya berhenti kerja dan menjaga anak2, maka sayalah orang yg paling gembira...hehehe (verangan jer lebih)

Alkisahnya saya MC selama itu kerana saya demam panas dan selang beberapa hari saya diserang Asthma...actually saya memang ada Asthma waktu kecik dulu tapi dah besar memang x pernah kena lagi serangan sampailah minggu lepas. Mudah2an selepas ini kesihatan saya kembali pulih hendak-Nya....Amin.... Saya tidak mahu mencoretkan bagaimana Dr di sebuah klinik swasta membuatkan saya 'down' dengan menyuruh saya berhenti menyusukan anak saya kerana saya tidak mahu kenang semua yg sedih dan yg negatif belaka. Oh ye, bila saya sakit ni saya memang x berdaya untuk bersendirian di rumah dengan si kecil. Bukan apa, saya sendiri nak berdiripun x mampu apatah lagi menguruskan segala keperluannya. Untuk itu, keputusan drastik yg saya ambil adalah untuk pulang ke Ipoh.

Iye, saya akui bila ssaya tidak sihat saya agak manja (bukan ngada2) tapi memang x larat kot sebenarnya. Justeru bila keadaan saya masih x berubah untuk 2 hari, saya minta keizinan dari suami untuk pulang ke Ipoh. Keputusan yg agak nekad kerana ketika itu kami sekeluarga sedang manjamu selera di malam hari Ahad jam 9.00 malam. Jam 10.00 malam kami bergerak ke Ipoh dan suami pulang keesokan harinya dengan menaiki bas. Bila sakit ni, hati meronta2 nak mak, nak bapak. Bukanlah saya berniat untuk menyusahkan mereka kerana saya tahu mereka dah jenuh membesarkan kami adik-beradik dulu tapi itu sahaja keputusan terbaik yg saya rasa.

Bapak saya pula, seperti biasa memang mengalu2kan saya pulang ke Ipoh kerana dia lebih tahu bagaimana keadaan saya apabila sakit. Dan yg lebih penting ada yang tolong tengokkan Safiyya. huhuhu, sungguh saya sedih mengenangkan betapa saya terpaksa buat x layan Safiyya apabila dia ingin bermain dengan saya. Bersungguh-sungguh dia ingin menceriakan umi dia namun umi dia x berdaya ketika itu. Maafkan umi ye sayang.....saya juga berperang dengan perasaan apabila terasa sayu mengenangkan kata2 suami sebelum kami tidur malam itu dengan mengatakan lepas ni rindulah daddy pada adik dan lantas dicium2nya pipi dan dahi Safiyya berkali2....

Saya tidak berhasrat untuk berjauhan dengan suami sebegitu lama, namun apakan daya kesihatan saya tidak mengizinkan....Keputusan berjauhan dengan orang yg tersayang terlalu berat untuk diambil dan saya memilih untuk berjauahan seketika dengan suami berbanding berjauhan dengan anak saya. Mahu x lena saya dibuatnya kalo saya tidak dapat mencium dan membelai dahi dan rambut Safiyya tatkala tidur..... Apabila demam saya kembali kebah dan sedikit bertenaga, Safiyya pula demam. Buat pertama kali Safiyya merengek x tidur malam sampai suaranya serak sehingga hari ini. Resah saya dibuatnya. Hendak digerak ayahanda tersayang, ayah saya baru sahaja keracunan makanan siang itu, ibu saya juga masih lemah badan kerana keracunan makanan. Hendak menelefon mertua, terasa tidak elok mengganggu mereka di awal pagi. Sudahnya, saya dan bapak bergilir mendukung Safiyya sehingga dia lebih selesa tidur di pangkuan dari di katil.

Keesokan harinya, saya minta suami pulang awal ke Ipoh kerana Safiyya demam dan saya amat memerlukan suami saya di sisi ketika itu. Alhamdulillah pagi Sabtu suami selamat tiba dan terus ke klinik membawa Safiyya....demamnya kini kebah dan kembali aktif seperti biasa cuma masih selsema dan batuk sahaja. Semoga anak umi lekas sembuh dan kuat seperti biasa...Amin....

Doa juga dipanjatkan buat suami agar segera sihat dari demam dan sentiasa dilindungi oleh Yang Maha Esa....Amin.....

Thursday, September 20, 2012

Bila Umi Ketiadaan Mood

Salam buat semua....

kali ni biar Safiyya yg bercerita. Kesian dekat umi yg ketiadaan mood sejak kebelakangan ni sampaikan blog umi dah lama x berupdate. Tapi umi tetap jugak gomol2 saya setiap kali jumpa saya, yg tu umi masih tidak berubah...kalau umi yg gomol saya x kisah, tapi kalo daddy atau chik As yg cium2 pipi atau peluk saya memang saya akan menjerit sebab saya geli bila kena janggut atau misai mereka....daddy selalu jeles dgn umi sbb saya x menjeritpun bila umi peluk saya.....

Daddy cakap saya ni anak manja umi sebab setiap kali saya bangun dari tidur saya nak melihat umi dulu...kalo umi xde kat sisi, pasti saya akan menangis....bila umi dah datang, terus saya benamkan muka saya kt umi untuk hilangkan rasa rindu....walaupun daddy ada kat sebelah tapi saya nk tgk umi dulu bila bgn dari tidur...Tapi untuk berlaku adil, setiap kali daddy balik dari keje saya nak bermanja dengan daddy plak....saya akan menangis kalo daddy x layan saya walaupun puas umi pujuk saya..saya x sabar2 nak daddy dukung saya bila daddy dah sampai rumah. Bukan setakat tu, bunyi daddy bukak pintu pun saya dah cam tau....kiranya saya manja dengan dua2 la kan??hehehe...

Kalau umi marah saya, saya x takutpun sbb saya tahu umi pura2 marahkan saya...tapi jgn daddy yg marahkan saya, mesti saya akan nangis wpun daddy cuma sebut "amboi" sahaja...Tapi "amboi" daddy cuma termaktub bila daddy x izinkan saya merangkak ke tepi katil untuk pergi ke umi sahaja, yg lain2 cubaan daddy nk marahkan saya mmg x berhasil sbb setiap kali daddy marahkan saya lekas2 saya tengok muka umi yg sedang tersenyum...

Di taska pulak saya dah kurang menangis tapi saya tau bila umi dah nak naik pegi keje saya berat nk lepaskan umi pergi, jadi sayapun menangis minta tidak ditinggalkan....benda ni yg paling berat saya rasakan iaitu berjauhan dan berpisah sementara dengan umi.....saya tau setiap hari umi bisikkan kepada saya yg dia sayangkan saya dan pujuk saya dengan mengatakan tengahari nanti umi datang dan petang nanti kita balik rumah jumpa daddy dengan Chik As tapi saya tetap berat nak berjauhan dengan umi.....Tapi lepas umi dah naik, saya ok jer....bila jumpa kawan2 saya ok dah x menangis melainkan saya lapar atau dahaga sahaja..

Sekarang ni saya dah mula berdiri, umi n daddy suka sangat lepaskan saya time saya berdiri tapi saya lagi bijak dari mereka sebab saya nak buat semua sendiri tanpa dipaksa. Oleh itu saya akan duduk semula setiap kali umi n daddy berdirikan saya dan saya akan berdiri sendiri tanpa mereka sangka. Oklah, rasa x best bercerita tanpa gambar plak...so ni lah gambar saya yg terkini...Oh ye, tok n opah Sg.Rokam panggil saya Safiyya, tok n opah Seri Raia panggil saya Yaya....umi n daddy tetap panggil saya Safiyya.....saya x kisah yg penting saya tahu nama saya.....


teman baru saya ketika tido....saya amik bear yg daddy hadiahkan pada umi suatu ketika dulu

ni keje saya setiap kali umi lipat baju.....saya nak manja2 n main dengan umi n x nak umi lipat baju....
so, saya baringla atas timbunan kain...bijak kan saya??

ni antara taktik umi bila umi nak masak....umi saja letakkan mcm2 benda untuk alihkan perhatian saya

gigihkan umi saya nak melekakan saya dari ganggu umi kat dapur

sudahnya umi terpaksa mengalah dengan saya....yeeyyyy, umi terpaksa bawak saya ke dapur jugak.....
saya suka saya suka....asalkan saya ada dekat dengan umi

Umi saya sekarang makin rajin....setiap pagi umi ikat rambut saya sebelum ke taska....

yg ni daddy siapkan saya sebab umi dah lambat nak siap pegi keje gara2 main dengan saya.....


Wednesday, August 29, 2012

WW Di Aidilfitri


kami sedondon di hari raya pertama-bersama keluarga mertua (duduk posing berbaju melayu Hijau adalah moyang Safiyya, terenterprem plak, hehehe)


Bersama keluarga ku - banyak biruuuu, mujur kami x pakai biru lagi...ehehehe..
(alah, anak manja umi ni...lentok2 kat umi plak)


Keluarga kecilku (doakan semakin membesar yer kawan2)....
alamak terselak plak kain Safiyya, maafkan umi ye sayang


Tuesday, August 28, 2012

Corat Coret Aidilfitri 2012

Bismillah dan salam buat semua.....

Dah masuk 10 Syawal barulah saya punya kesempatan mencoretkan kenangan di Aidilfitri bagi tahun ini. Raya yg kedua sebagai isteri, raya pertama bersama anakanda dan raya kedua beraya di samping keluarga mertua pada Syawal pertama.

Kami sekeluarga pulang ke kampung halaman pada hari Jumaat mlm. Sebaik selesai berbuka puasa di Empire Hotel, Subang Jaya atas jemputan pejabat suami, kami bergerak pulang ke Ipoh jam 9.00 malam. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan dan selamat sampai di rumah mertua jam 12.30 tengah malam. Sebaik tiba, anakanda bukan main cergas lagi berjumpa dengan tok opah, makcik2 dan pakciknya. Xpe, umi layankan saja peel anakanda....



daddy semangat bersongkok
otw pulang ke Grik

17 Ogos (Jumaat) : saya dan suami melengkapkan keperluan yg tidak sempat dibeli untuk ayah bonda dua2 keluarga dan suami turut menghadiahkan saya sesuatu yg saya kira sebagai hadiah hari lahir buat saya. TQ my dear hubby, love u ketat2.....Selepas Asar, barulah kami pulang ke rumah saya pula dan berbuka di sana.
umi n Safiyya yg sedang lena

18 Ogos (Sabtu) : memandangkan hari ini adalah 'hari masak' dan tahun ini giliran adik-beradik saya beraya di rumah mertua terlebih dahulu, maka saya selaku anak perempuan seorang membantu bonda tercinta menyediakan keperluan masakan utk menu hari esok. Rendang pedas air tangan bonda merupakan perkara wajib dimasak setiap tahun dan tahun ini juga walaupun anak2 beraya belah mertua dahulu, tapi mak tetap menyediakannya. Selepas Zuhur, kami bergerak pulang ke Grik kampung halaman tok dan opah suami.

19 Ogos (Ahad) : Seawal pagi Safiyya bangun (excited agaknya) tapi jam 9.00 pagi dan mengantuk semula sampaikan org yg solat hari raya dah balikpun Safiyya masih nyenyak tidur. Mungkin keletihan mengharungi perjalanan yg jauh. Menu pagi itu adalah lemang, rendang ayam dan rendang daging. Lemang semenangnya feveret saya dan saya x kan melepaskannya. Seharian beraya di rumah saudara mara di sekitar.

20 Ogos (Isnin) : Rancangan asal untuk ke Baling hari ni tapi disebabkan ada berlaku kematian di Ipoh, maka kami semua pulang awal dan memendekkan raya di Grik. Kami sempat berkunjung ke perhimpunan keluarga belah mak saya di Malam Nawar petang itu dan pulang bermalam di rumah mertua.

21 Ogos (Selasa) : Pulang ke rumah keluarga saya dan membantu bonda menyediakan nasi lemundi dan mee rebus. Memandangkan arini abang2 saya akan pulang ke Ipoh, maka hari itu kami x ke mana2, sekadar menunggu kedatangan tetamu. Hanya malam kami berkesempatan beraya di rumah maksu saya di Jelapang dan pekena capati terbaik air tangan maksu.

22 Ogos (Rabu) : Misi hari ini adalah untuk beraya di 10 buah rumah sedara mara saya dan Alhamdulillah tercapai. Walaupun masing2 agak kepenatan dan keletihan namun kunjung mengunjung tetap diteruskan.

23 Ogos (Khamis) : Mengambil gambar di studio dan pulang ke kampung mak di Malim Nawar.

24 Ogos (Jumaat) : Hanya duduk di rumah kerana ayahanda tidak sihat dan abang2 mula pulang ke ibu kota.

25 Ogos (Sabtu) : Duduk di rumah menjaga ayahanda kerana demamnya masih belum surut.

26 Ogos (Ahad) : Duduk di rumah mengemas barang keperluan sementara suami ke Sg. Petani bersama keluarganya atas urusan keluarga.

27 Ogos (Isnin) : Jam 12.30 tengah malam kami bergerak pulang ke Putrajaya dan selamat sampai jam 3.30 pagi...syukur Alhamdulillah.




daddy n Safiyya


Umi n Safiyya


Adik-beradik suami


Safiyya dengan ayah mok dia...
p/s :

a) Bergelar ibu dan di kala anakanda sudah berusia 8 bulan, maka perkara pertama yg saya akan lakukan sebaik bangun dari tidur adalah menyediakan bubur buat anakanda. Di musim raya, saya amat khuatir tentang masa makan anak saya dan syukur walaupun umi dan daddy beraya sakan, namun Safiyya tetap makan dari air tangan umi x kira pagi, tengah hari mahupun petang dan x kira di rumah mana sekalipun....i love u sayang....

b) Bulan Ramadhan, bulan yg penuh keberkatan, Alhamdulillah rezeki kami dimurahkan dengan kenaikan pangkat suami....syukur kepada Mu Ya Allah....

c) Mendapat perkhabaran gembira sebelum pulang ke Putrajaya...insya-Allah tahun depan akan bertambah cucu mak bapak.....Syukran Ya Allah... (^_^)


Tuesday, August 7, 2012

Persiapan Raya

Bismillah dan salam buat semua...

Alhamdulillah arini dah hari ke-17 umat Islam berpuasa dan raya kali ini adalah raya pertama kami bersama pengarang jantung kami Nusaibah Safiyya. Persiapan kali ni lebih kepada anak nampaknya. Jom tengok check-list kami sekeluarga untuk persiapan raya kali ni.

Baju Tema Keluarga : done n beli kat Nilai....senang!! ^_^
Baju Tema Keluarga belah mertua : umi n Safiyya punya done, daddy punya belum lagi...
Baju Kurung Umi : done
Baju daddy : belum lagi, daddy kata beli kat Ipoh jer la....umi ikut jer....
Baju Safiyya : done, kasut jer x sure muat ke x....makcik ada bagi hadiah time dia lahir dulu rasanya muat lagi kot....
Untuk mak n bapak : belum lagi tapi dalam proses
Untuk mak n abah : belum lagi tapi dalam proses
Duit Raya : tugas daddy untuk tukar
Kereta : dah servis aritu
Kuih Raya : dah siap order n tunggu dapat jer dalam minggu depan
Cuti Raya : dah apply walaupun terpaksa balik lewat sbb daddy tengah dalam fasa bz....huhuhuhu

Rasanya ni jer kot....walaupun suasana hari raya hampir tibe tapi hati ini terasa sayu untuk meninggalkan Ramadhan, x lama jer lagi....xtau la dapat bersua lagi dengan Ramadhan yg akan datang atau tidak. Semoga ini bukanlah Ramadhan yg terakhir buat kami, Amin....Yang penting kedatangan Syawal disambut secara berserderhana tanpa sebarang pembaziran....

Insya-Allah kami sekeluarga akan pulang ke kampung halaman pada hari Jumaat (malam)..Risau juga nak menempuh perjalanan yg mungkin akan menjadi panjang (kalo jalan jammed, tp rasanya mmg confirm jammed punya) bersama dengan anak yg masih kecil. Semoga Safiyya ok dan perjalanan kami dilindungi oleh Yang Maha Esa....Amin...



Friday, August 3, 2012

Tertumpah Jua Akhirnya....




Bismillah dan salam buat semua.....

Sedang saya berborak2 dengan seorang insan yg saya kira boleh dianggap ayah, tiba2 terselit kisah sedih dan secara tidak sengaja saya meluahkan apa yg terbuku di hati saya selama ini. Apa yang saya tidak dapat kongsikan bersama ayahanda saya dan suami saya kerana saya tidak mahu mereka risau.Bila menyentuh tentang anak, automatik hati saya sebak dan serentak dengan itu airmata ini mengalir tanpa segan silu di hadapan seorang insan yang bergelar 'ayah'.....


Safiyya sayang, apa yg umi lakukan untuk kebaikan sayang....
Umi tidak kisah apa yg orang sekeliling perkatakan, umi sanggup telan demi Safiyya....
Biar ada yg memandang sinis, semua umi balas dengan senyuman sahaja....semua demi anakandaku Safiyya....

Orang tidak akan faham situasi yg umi hadapi tapi orang bebas untuk mempertikaikan itu dan ini...
Xpela sayang, semuanya umi sanggup harungi....
Demi terpandangkan wajahmu menyebabkan semua itu berlalu pergi dan yang ada cumalah pelangi indah di hadapan umi....
Terima kasih kepada 'ayah' kerana mengambil berat tentang diri ini dan membuatku sedar yg mana kawan dan yang mana lawan.....

Umi akan kuat demimu sayang....Love u always!!


Tuesday, July 31, 2012

Ramadhan Kali Ini....

Bismillah dan salam buat semua...

Harini genap hari ke-11 umat Islam berpuasa dan Alhamdulillah saya masih berpuasa penuh (^_^). Ramadhan kali ini terasa agak mencabar bagi saya kerana saya masih menyusukan anak saya yang berusia 7 bulan. Syukur juga kerana tatkala kedatangan Ramadhan, anak saya dah mula makan solid food maka dia tidak terlalu bergantung pada susu sepenuhnya. Namun demikian, dia tetap mencari susu apabila dia menangis, nak tidur atau nak melepas rindu.

Puasa hari pertama cuti hujung minggu, memang saya keletihan tidak bermaya melayan kerenah anakanda seharian. Masuk hari kedua saya dah semakin ok. Hari ketiga berpuasa agak mencabar kerana hari pertama bekerja di bulan puasa dan saya perlu mengepam susu setiap 2-3 jam. Syukur Alhamdulillah hasil perahan masih seperti biasa cuma dahaga tetap terasa setiap kali selepas menyusu dan mengepam susu. Yang penting setiap kali sahur saya x miss minum susu n kurma 7 biji, manakala time berbuka saya akan minum milo / horlicks dan kurma 5 biji. Air masakpun saya kena minum dalam kuantiti yang banyak. Semua ini demi anakanda tersayang. Gigih setiap hari bangun kul 4.30 pagi n terus x tido sampai ke malam nk menguruskan rumah, gosok baju, cuci baju Safiyya (pakai tangan), buat bubur Safiyya setiap hari (bekalan di nurseri n sekali dengan mkn utk petang).

Daddy menyakat Safiyya dengan belon besar, nangis2 anak umi dibuatnya.....
sian manja sayang ni

Sepanjang hari bekerja saya tidak dapat memasak kerana Safiyya x boleh ditinggalkan...manja sangat anak umi ni. Sebaliknya saya hanya order mangkuk tingkat di pejabat. Harganya reasonable dan mencukupi buat keluarga kecil kami. Cuma hujung minggu dan waktu sahur sahaja saya dapat memasak, dengan syarat ada peneman Safiyya sama ada daddy dia atau adik saya. Hari bekerja menyebabkan saya memasak nasi dan sesekali menggoreng cucur sambil dukung Safiyya. Syukur sekarang ni Safiyya kul 8.00-8.30 malam dah merengek2 n panjat2 umi dia ajak tido n menyebabkan umi dia solat Isyak n Terawih sendirian di lewat malam. Selama 11 hari berpuasa, ada 3 hari Safiyya bangun sahur bersama kami tapi kul 6.00 pagi dah ajak umi dia baring sekali dengan dia untuk tidur semula. Bila hujung minggu, barulah Safiyya tidur lewat sikit sebab umi n daddy bawa Safiyya berterawih di Masjid Putra. Percubaan pertama amat mendebarkan sebab takut sangat kalo Safiyya ganggu orang solat tapi mungkin sebab kami selalu membiasakan Safiyya dengan suasana solat berjemaah di masjid2, so apabila pergi terawih di Masjid dia akan duduk n main di sekitar saya sahaja.

Semoga baki Ramadhan yang masih tinggal ini dapatlah kami sekeluarga meningkatkan amalan kami...Amin.....





 Safiyya x bagi umi ke mana2 tapi dia merayap x pe

Dari satu tempat ke satu tempat anak umi sayang ni menjelajah yer....




Monday, July 23, 2012

Demam Panas + Tekak Bernanah n Berdarah

umi, kita nak pegi jalan2 ker ni?


Bismillah dan salam buat semua....Seperti dijanjikan saya buat entry khas untuk ini di mana saya ingin mencoretkan tentang ujian yg saya hadapi genap 2 minggu sebelum umat Islam berpuasa. Alkisahnya pada tengahari Jumaat (6 Julai 2012), seperti kelaziman saya menemui anakanda tersayang di nurseri pejabat. Sedang saya berbaring di samping Safiyya tiba2 saya rasa kesejukan yg amat sangat dan rasa sengal2 badan. Habis waktu rehat saya kembali ke pajabat semula dan mula rasa lain. Tekakpun dah rasa perit. Saya text suami n memberitahu keadaan saya memandangkan kami bercadang untuk pulang ke kampung halaman malam itu. Pulang ke rumah dalam keadaan tidak berdaya saya menyuapkan anakanda makan. Selesai segala urusannya saya terbaring di ruang tamu sambil Safiyya bermain sendirian (maafkan umi sayang sebab x dapat temankan sayang main2 ketika itu). Menjelang Maghrib, suami text saya n memberitahu agar saya bersiap kerana dia dah otw utk pulang ke rumah dan akan terus bergerak pulang ke kampung halaman. Saya gagahkan diri untuk mengemas beg kami namun saya hanya berdaya menyiapkan beg dan barang keperluan Safiyya sahaja.



Sebaik suami pulang, saya terbaring lesu di samping Safiyya. Suami menyuruh saya tidur dahulu kerana mungkin saya terlalu penat n kurang berehat. Saya bangun tidur jam 9.30 mlm dan terasa ok sedikit n memutuskan untuk pulang ke Ipoh juga. Kami memulakan perjalanan jam 10 mlm dan tiba di Ipoh jam 4.30 pagi disebabkan ada kemalangan di Bukit Tagar. Sampai di rumah saya, saya menggigil kesejukan namun saya paksakan diri untuk tidur dan berehat juga. Pagi itu Safiyya bangun awal dan saya juga turut sama bangun untuk menemankannya bermain seperti biasa. Segera madu dan habatus Sauda saya makan dan badan saya terasa ok seketika. Menjelang tengahari demam saya semakin panas dan kami pula dlm perjalanan pulang ke kampung suami di Grik. Hajat nk mkn durian tidak kesampaian kerana saya demam. Melepek ajelah saya di kampung halaman suami, mmg x berdaya. Petang itu pulang ke rumah mertua dan kali ini suami benar2 terkejut kerana badan saya panas sgt, dituamnya dahi saya dengan tuala basah. Berkali2 saya diajaknya ke klinik namun saya tetap berkeras tidak mahu kerana Safiyya dah tidur dan saya tidak mahu mengganggu lenanya itu. Namun saya berjanji untuk ke klinik esoknya, huhuhu....

Lepas Zuhur, Ahad - sebelum pulang ke rumah saya, saya ke klinik berhampiran. Doktor memeriksa dan mengatakan suhu saya dah tinggi dan tekak saya bernanah. Diberinya saya ubat dan antibiotik namun Dr pesan untuk berhenti menyusukan anak saya sekiranya mengambil antibiotik kerana ia akan memberi kesan kepada anak saya. Dengarkan itu, saya terkesima dan terkedu....Bagaimana saya nak menghentikan penyusuan sedangkan saya tidak membawa pam dan botol susu Safiyya. Sudahnya saya bertekad untuk tidak mengambil antibiotik tersebut demi kepentingan anak saya. Memandangkan saya mendapat MC, suami pulang sendirian ke Putrajaya manakala saya stay di rumah keluarga di samping menemankan ibu saya. Hari Isnin demam saya on off, setiap kali kesan ubat dah habis saya pasti akan demam semula. Pelbagai cara saya guna, lumur kepala dengan lendir lidah buaya, tuam dengan asam jawa, mandi malam namun semuanya belum menampakkan hasil. Hari Rabu, saya terjaga di awal pagi untuk ke tandas, apabila saya meluahkan kahak alangkah terkejutnya saya kerana yang keluar adalah darah. Terus saya menggunakan ubat untuk berkumur yg Dr bekalkan. Sebelum ini saya hanya berkumur menggunakan air garam sahaja. Demam masih belum kebah ditambah pula dengan tekak saya berdarah.

Keesokan harinya saya memberitahu pada mak keadaan saya dan saya mula terasa down sangat2. Setiap kali menyusukan anak saya, saya menangis dan meluahkan kepadanya segala isi hati saya. Kepada Allah Taala saya panjatkan doa agar diberi kesembuhan kepada saya yang serba tidak berdaya ini. Hari Rabu itu, abang saya memberi ubat dari klinik kesihatan dan ada bersama antibiotik yang boleh diambil sekiranya menyusu badan ataupun mengandung. Syukur Alhamdulillah demam saya kebah sepenuhnya dan tinggal hanya tekak berdarah. Saya stop makan ubat dan cuma mengambil air gamat yg dicampur madu 2 kali sehari untuk mengubati luka di tekak saya dan keadaan saya beransur pulih. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di kala saya diuji dengan kesakitan, namun saya masih kuat untuk menyusukan yang tersayang. Dan Safiyya pula sepanjang seminggu saya tidak sihat ini dia langsung tidak meragam, syukur sangat2 kerana dia tidak berjangkit.



p/s:

Safiyya sayang, andai suatu hari nanti Safiyya membaca coretan umi ini ingatlah akan pengorbanan yang umi lakukan untuk Safiyya. Bagi umi, biarlah umi menanggung sakit asal tidak memudaratkan anakanda tersayang...umi sayang Safiyya dunia akhirat.